12 JAN : Laporan penarikan diri firma Jepun daripada terbabit dalam projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura baru diterima kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Hijrah di Desa Pinggiran Putra, Kajang.
“Saya baru menerima laporan,” katanya ringkas.
Terdahulu, agensi berita Kyodo News melaporkan firma yang sepatutnya terbabit dalam projek HSR itu mengambil keputusan untuk menarik diri.
Penarikan diri dilihat bakal membuka ruang lebih luas kepada syarikat China untuk memperkukuhkan lagi tapak mereka dalam pembinaan infrastruktur di Asia Timur selepas mereka selesai membina laluan keretapi berkelajuan tinggi di Indonesia dan kini sedang membida untuk projek yang sama di Thailand.
Laporan media sebelum ini menyebut 15 Januari ini sebagai tarikh akhir bagi syarikat yang berminat membida di mana prosesnya dimulakan kerajaan Malaysia pada Julai 2023.
Malaysia dan Singapura sebelum ini memeterai perjanjian awal pada 2013 yang merangkumi pembinaan laluan kereta api berkelajuan tinggi sejauh 350 kilometer.
Melalui projek ini, jarak perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura dapat dipendekkan kepada 90 minit berbanding empat jam perjalanan dengan kereta.