13 JAN : Lelaki yang ditahan disyaki terlibat dengan kebakaran kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar, Rabu lalu bukan ahli mana-mana parti politik.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan awal dijalankan mendapati individu berusia lingkungan 30-an itu tidak mewakili mana-mana parti di negeri itu
“Bukan, suspek bukanlah ahli mana-mana parti politik.
“Siasatan kita dapati, lelaki itu juga tinggal di luar dan tidak menetap di Manjung,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata siasatan kes itu masih dijalankan termasuk mengetahui motif sebenar kejadian sama ada berunsur dendam atau sebab lain.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Lelaki berkenaan ditahan sekitar jam 4 pagi di Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu kebakaran melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.
Pemimpin DAP tersebut bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.