Sarawak pertahan Anwar kekal PM
13 JAN : Sarawak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan sebagai Perdana Menteri untuk mentadbir Kerajaan Perpaduan hingga tamat tempoh penggal Parlimen ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata usaha menukar kerajaan tidak akan terhenti meski Anwar berjaya digulingkan.
Tegasnya, keutamaan sepatutnya difokuskan kepada kestabilan politik negara untuk memulihkan ekonomi Malaysia dan memastikan rakyat menikmati kesejahteraan.
“Kalau Anwar, Perdana Menteri sudah di sana, biarkanlah sampai habis.
“Ini kerana ketentuan kerajaan mengikut amalan demokrasi ialah apabila pilihan raya telah diadakan, apa keputusannya biarlah sampai habis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Townhall 7 Tahun Bersama Premier Sarawak di Hikmah Exchange di Kuching, hari ini
Menurut Abang Johari, politik negara akan tetus bergolak sekiranya kerajaan hari ini ditukar selepas setahun mentadbir.
“Selepas itu, akan ada macam-macam seperti ‘tebuk atap’, ‘masuk jendela’ dan mungkin ada juga ‘tebuk lantai’ pula nanti.
“Akhirnya yang menjadi mangsa ialah rakyat seluruh negara,” katanya.
Katanya, Sarawak akan terus berpegang kepada pendirian menyokong kerajaan sedia ada bagi mengukuhkan kestabilan politik Malaysia.
Beliau sempat melahirkan kehairanan apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikaitkan dengan ‘Langkah Dubai’ sedangkan mereka langsung tidak mengetahui soal usaha itu.
“Memang ada pemimpin GPS iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Timbalan Premier Sarawak) berada di Dubai kerana bercuti di sana.
“Beliau tidak berjumpa sesiapa di sana, jadi macam manalah GPS boleh dikaitkan termasuk mendakwa saya akan dipilih sebagai perdana menteri,” katanya yang menyedari kedudukan GPS dengan 23 kerusi tidak akan mampu bertahan lama jika membentuk kerajaan melalui Langkah Dubai.