16 JAN : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak gentar tentang kemungkinan berdepan Warisan dan UMNO pada pilihan raya negeri akan datang.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata walaupun tidak pernah meminta mana-mana parti untuk keluar kerajaan negeri namun beliau tidak gentar menghadapi percubaan kedua parti itu yang kemungkinan akan bergabung.
“Usah gentar. Kami pernah berjaya patahkan usaha menggoncang pentadbiran negeri sebelum ini. Rakyat memberi keyakinan dan sokongan kepada kita. Rakyat mahu maju dan kestabilan politik.
“Bagi saya sama ada dua parti berkenaan mahu bergabung itu hal mereka. GRS mempunyai tanggungjawab yang diberi mandat rakyat mentadbir sehingga tempoh tamat,” katanya dalam temubual bersama FMT.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah itu memberi bayangan pilihan raya negeri akan diawalkan daripada jadual.
Penggal DUN Sabah hanya akan berakhir pada Oktober 2025.
Hajiji juga mengulangi sokongannya kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang genap setahun mentadbir Putrajaya November lalu.
“Saya nampak beliau mempunyai dasar baik untuk masa depan Malaysia, dasar boleh membangunkan negara di masa akan datang,” katanya.