16 JAN : Kerajaan China menawarkan tambahan 1,000 biasiswa kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menjalani latihan di negara itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelajar terpilih akan menjalani latihan dalam pelbagai bidang kemahiran antara tiga bulan hingga setahun di China.
“Kerajaan China akan membiayai 100 peratus kursus termasuk kemudahan dan lain-lain. Ini satu tawaran yang baik dan penempatan ini dibahagi-bahagikan antara institusi TVET yang ada.
“Mereka cuma meminta supaya tiket kapal terbang sahaja yang dibiayai oleh pelajar-pelajar dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan biayai tiket pergi dan balik untuk pelajar-pelajar TVET kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program TVET Place & Train UTeM@KPT di Dewan Canselori, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, hari ini.
Perjara itu merupakan antara sebahagian daripada “Belt and Road Initiative (BRI).
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata biasiswa berkenaan akan diagih-agihkan antara rangkaian universiti-universiti teknikal di negara ini.
Zahid berkata pelajar terpilih akan menjalani latihan dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), bateri, keselamatan siber dan sebagainya.
Terdahulu ketika berucap, Ahmad, Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata ekosistem TVET di negara ini amat kompleks.
Justeru itu katanya, ia memerlukan pengurusan dan kemahuan politik yang tinggi daripada semua menteri yang terlibat di dalam Majlis TVET Negara (MTVET) agar ia mampu menjadi pemangkin utama melonjakkan sosioekonomi negara.
“TVET akan memperkukuh dan memperkasa negara kita untuk menangani isu-isu dari segi penggunaan tenaga kerja dari luar negara,” katanya.