17 JAN : Cadangan agar UMNO memutuskan kerjasama dengan DAP jika mahu menawan Terengganu hanya pandangan peribadi bekas pemimpin negeri itu.
Timbalan Ketua UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata ketika ini pendiriannya masih sama dengan UMNO Pusat yang menjalinkan kerjasama DAP susulan penubuhan Kerajaan Perpaduan pasca PRU15.
“Kita boleh cadang sahaja (kaji balik kerjasama dengan DAP) tapi akhirnya Pusat putuskan kita kena akur.
“Kita tak perlu sentuh lagi soal kerjasama dengan DAP sebab pucuk pimpinan sudah buat keputusan, apa dibangkitkan Rahman (Datuk Seri Abdul Rahman Bakar) itu cadangan peribadi sahaja…tiada masalah nak cadang apa pun,” katanya lapor FMT.
Semalam, Rahman yang diberi jolokan ‘Giant Killer’ kerana mengalahkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada PRU 1986 dan 2004 berkata UMNO perlu mengkaji kerjasama dengan DAP jika serius mahu menawan semula Terengganu, bukan sekadar melantik empat penasihat.
Menurutnya, keputusan melantik tiga bekas menteri besar dan seorang bekas panglima tentera sebagai penasihat UMNO Terengganu belum memadai merampas pentadbiran daripada PAS pada PRU depan.
Tiga bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta bekas calon BN yang kalah PRK Kemaman 2 Disember lalu, Tan Sri Raja Mohamed Affandi dilantik penasihat UMNO Terengganu berkuat kuasa minggu lalu.
Nik Dir berkata Ketua Umno Terengganu, Rozi Mamat bersama empat penasihat terbabit akan mencari jalan untuk meyakinkan orang Melayu kembali menyokong Umno.
“Kita sedang mencari jalan meyakinkan rakyat selepas kita kerjasama dengan DAP. Begitu juga MKT (Majlis Kerja Tertinggi),” katanya.