17 JAN : Kerajaan menaikkan peruntukan untuk Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) kepada RM5.8 juta tahun ini berbanding hanya RM2.6 juta tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata perkara itu selaras dengan pendirian kementeriannya untuk berdiri bersama pekerja yang menjadi tonggak kepada ekonomi negara selain memerlukan kesatuan sekerja terus didukung dan diperkasa.
Menurutnya, had maksimum permohonan geran untuk kesatuan sekerja juga dinaikkan kepada RM20,000 berbanding RM10,000 tahun lalu bagi tujuan memperkasa pengurusan.
“Pemberian geran PHEKS berkenaan adalah tertakluk pada syarat yang ditetapkan.
“Dua Jawatankuasa ditubuhkan bagi tujuan penilaian permohonan, iaitu Jawatankuasa Teknikal PHEKS dan Jawatankuasa Panel Penilai/Pelulus PHEKS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Sim berkata Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) akan mempromosi geran dan program di bawah PHEKS itu kepada semua kesatuan sekerja melalui Pejabat Negeri JHEKS di seluruh negara selain sesi taklimat secara bersemuka serta pengiklanan di laman sesawang jabatan – jheks.mohr.gov.my.
“Justeru, semua kesatuan sekerja disaran untuk menyertai inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.