25 JAN : Pasukan petugas khas berkaitan kes Batu Puteh yang ditubuhkan sebelum ini berdepan kekangan ketika siasatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dicadangkan oleh pasukan petugas khas itu bagi mengatasi kekangan dihadapi mereka.
“Sebenarnya, (sebelum) RCI ini, sudah ada ‘task force’ dan hasilnya ialah untuk mengadakan RCI. Jadi ia (RCI) adalah susulan daripada ‘task force’ itu.
“Disebabkan ‘task force’ ada kekangan, maka dengan RCI ini, kita boleh siasat lebih lanjut. Sekarang ini isunya ialah kita perlu nilai apa yang sebenarnya telah berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Justice On Wheel, Jabatan Bantuan Guaman sempena Program Jelajah Undang-Undang Malaysia Madani 2024 di Kampung Madsiang di Kota Kinabalu, hari ini.
Menurut Azalina, isu Batu Puteh sama seperti isu tuntutan Sulu di Sabah, kedua-duanya berkait rapat dengan soal kedaulatan negara.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata pihaknya akan membentangkan Akta Imuniti Negara bagi melindungi negara daripada sebarang ancaman kedaulatan pada persidangan Parlimen akan datang.
“Pada sesi Parlimen ini saya akan bawa rang undang undang (RUU) Imuniti Negara yang mana soal tuntutan Sulu dan Batu Puteh adalah perkara berkaitan kedaulatan.
“Perlu difahami bahawa isu kedaulatan tidak boleh diputuskan oleh seorang saja, tidak boleh silap dan apa yang berlaku pada masa lalu kita kena belajar, tidak boleh buat kesilapan.
“Kedaulatan adalah berkaitan sempadan, pulau, ia berkaitan banyak perkara. RCI ini juga akan membantu kerajaan untuk mencari proses dan prosedur kedaulatan, agensi mana bertanggungjawab kepada kedaulatan,” katanya.
Kata Azalina, kerajaan hari ini di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat mengambil berat soal kedaulatan.
“Apa yang berlaku pada masa lalu kepada Batu Puteh ia tidak boleh berlaku kepada pulau lain di bawah kawalan kita, sama ada negeri atau Persekutuan.
“Ini kita perlu lihat untuk masa depan negara. Anwar ialah seorang yang mahu melihat kedaulatan menjadi perbicaraan utama rakyat Malaysia.
“Tapi, kerajaan sangat adil, kita mahu siasat apa yang salah, di mana kita salah supaya kita dapat perbaiki. Sama macam kes tuntutan Sulu, suka atau tidak kerajaan lalu sudah buat silap,” katanya.