30 JAN : Amerika Syarikat (AS) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan beberapa menteri Israel yang mendesak agar diwujudkan semula penempatan haram Yahudi di Semenanjung Gaza.
“Anda (Israel) mempunyai beberapa menteri dalam Kabinet yang bersikap melulu atau secara melulu mengeluarkan kenyataan yang mengapi-apikan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby kepada pemberita di White House, lapor Agensi Anadolu.
Pada Ahad, Pendatang haram Yahudi mengadakan persidangan mengenai penempatan semula dengan gesaan penempatan semula Semenanjung Gaza serta pembinaan penempatan haram diperluas di Tebing Barat yang diduduki.
Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir menghadiri acara itu bersama-sama menteri lain dan menggesa ‘penghijrahan sukarela’ rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza.
Menteri kewangan Israel, Bezalel Smotrich juga menyokong penempatan semula di Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap aktiviti penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki sebagai tidak sah dan berulang kali menggesa rejim itu untuk menghentikannya namun gagal.
PBB turut memberi amaran tindakan Israel hanya menjejaskan penyelesaian yang berpotensi terhadap konflik berkenaan iaitu berdasarkan penyelesaian dua negara.