31 JAN : Kabinet ada dimaklumkan sepintas lalu soal pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini
Menurutnya, perkara tersebut dimaklumkan ketika Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
“(Kabinet) dimaklumkan sepintas lalu, tapi bukan bidang kuasa Kabinet untuk (umum).
“Kita faham ini bawah (Lembaga Pengampunan) sebab pengampunan ini seperti dalam perlembagaan, ia jelas di bawah bidang kuasa siapa, keanggotaannya bagaimana.
“Jadi kita bincang (mengenai keputusan pengampunan Najib) tapi kita faham ini di bawah bidang kuasa (Lembaga) Pengampunan itu sendiri,” katanya pada Sidang Media Khas di Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat Kabinet membincangkan mengenai keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan Najib susulan khabar yang tersebar semalam.
Dalam pada itu, ditanya adakah keputusan berkenaan akan diumumkan, Saifuddin berkata perkara itu bukan dalam bidang kuasanya.
Oleh kerana bukan bidang kuasa kita, saya tak boleh jawab bagi pihak Lembaga Pengampunan,” katanya.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC), serta tiga pertuduhan setiap satu pelanggaran jenayah kepercayaan dan salah guna kuasa berkenaan dengan RM42 juta dana SRC.