1 FEB : Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed) memutuskan mengekalkan kadar faedah pada ketika ini.
Ia sekali gus mengekalkan kadar sasaran ditetapkan sebelum ini yang berjulat antara 5.25 dan 5.5 peratus, tertinggi sejak 23 tahun lalu.
Keputusan itu dimaklumkan Pengerusinya, Jerome Powell pasa Rabu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang berlangsung selama dua hari.
Powell pada masa sama memberi gambaran pihaknya tidak bercadang untuk menaikkan lagi kadar faedah semasa selain belum bersedia untuk membuat sebarang pemotongan.
Keputusan itu secara langsung mengenepikan beberapa unjuran ahli ekonomi sebelum ini yang berpandangan The Fed mungkin akan memulakan pemotongan kadar faedah dalam masa terdekat.
Menurut Powell, keputusan itu dibuat susulan kadar inflasi negara itu pada ketika ini masih berlegar melepasi paras sasaran bank pusat itu.
“Jawatankuasa (FOMC) tidak melihat pemotongan kadar sesuatu yang wajar ketika ini sehinggalah ia yakin inflasi akan bergerak dengan kukuh ke arah 2 peratus.
“Malah, saya tidak fikir jawatankuasa akan mencapai satu tahap yang meyakinkan untuk memotong kadar pada mesyuarat bulan Mac nanti, tetapi ia akan berlaku.
“Kami ingin melihat data yang baik. Bukan kami inginkan data yang lebih baik, sebaliknya ingin melihat data positif yang dilihat ketika ini kekal berterusan,” katanya pada satu sidang media.
Namun, beliau yakin pemotongan kadar faedah akan berlaku pada tahun ini.
Sementara itu, pasaran saham utama AS berakhir negatif susulan keputusan The Fed itu di mana pelabur memang mengharapkan bank pusat itu memotong kadar faedah dengan segera, sebelum kemelesetan berlaku.
Malah, Dow Jones Industrial Average telah susut 300 mata ketika dagangan masih berjalan.