8 FEB : Permohonan pengampunan penuh terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai menyantuni permintaan bekas perdana menteri itu dan keluarganya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah-langkah yang diambil kelak turut mengambil kira rasa hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Baginda mempunyai kuasa seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memaklumkan pertimbangan untuk membuat permohonan pengampunan kedua disebabkan anak guamnya tidak mendapat keadilan ketika perbicaraan dan semasa proses Lembaga Pengampunan.
Lembaga Pengampunan memaklumkan hukuman penjara terhadap Najib dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun selain denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Najib, 70 yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Sementara anak Najib, Nooryana Najwa melahirkan rasa kecewa berikutan bapanya itu tidak mendapat pengampunan penuh untuk dibebaskan serta-merta.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan pengampunan merupakan hak multak Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Maka siapa pun individu termasuk peguam hendaklah menghormati keputusan ini.
“Selanjutnya kita ambillah langkah perundangan dan apa-apa yang perlu untuk kita mengusahakan pembelaan ini kepada Najib,” katanya.