9 FEB : UMNO bertegas menolak sekeras-kerasnya cadangan untuk mencalonkan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming
itu dilihat terlalu besar yang menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung meski bertujuan untuk memperkasakan sektor pelancongan negara.
“Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, maka secara automatik penduduk yang menghuni kawasan terbabit akan dianggap sebagai orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya dan bahasa akan turut diperakukan.
“Ini sudah tentulah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kor Ming mencalonkan kampung baharu Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.
Pada Jun tahun lalu, Kor Ming juga mencalonkan tujuh kampung baharu di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Asyraf Wajdi berkata, isu itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
“Kor Ming mesti memahami isu tanah adalah isu maruah dan kedaulatan yang tiada tolak ansur bagi orang Melayu.
“Cadangan seumpama ini hanya akan merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan, mencetuskan polemik tidak perlu dalam kalangan rakyat, bahkan tidak selari dengan dasar Malaysia Madani yang dipelopori perdana menteri,” katanya.
Katanya, UMNO kekal dengan prinsip sebagai benteng Melayu-Bumiputera dalam kerajaan.
“Kami tidak akan sesekali membenarkan sebarang isu yang mengganggu gugat kesejahteraan rakyat dan membelakangkan hak setiap kaum yang dipaterikan dalam Perlembagaan,” katanya.