14 FEB : Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tidak dibayar ketika menjawat sebagai Penasihat kepada Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana).
MoF berkata, perjanjian sah yang ditandatangani Nurul Izzah adalah untuk memberi khidmat nasihat kepada Laksana secara ‘pro bono’ atau tanpa mengambil imbuhan kewangan mahupun sebarang faedah.
“Hantaran yang tular di media sosial baru-baru ini adalah palsu dan fitnah semata-mata.
“Dokumen perjanjian yang diuar-uarkan di media sosial merupakan sebuah draf tawaran tidak sah,” katanya MoF menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga bekas ahli Parlimen Permatang Pauh memaklumkan beliau menerima satu kiriman di Facebook yang memfitnahnya berkait hal itu.
Hantaran tersebut mengatakan beliau dilantik sebagai penasihat Laksana dan menerima gaji sebanyak RM35,000 serta diberikan dua kakitangan dengan pendapatan antara RM5,000 hingga RM20,000.
Nurul Izzah turut membuat laporan polis terhadap kenyataan itu selain menegaskan tindakan menyebar maklumat palsu adalah pelanggaran di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sebentar ya, pembaca – peguam saya masih bercuti Raya Cina. Insya-Allah, laporan polis terhadap fitnah ini menyusul minggu depan selepas laporan polis oleh Nadia esok pagi (semalam).
“Jangan dilupakan juga ya audit oleh ProKhas ke atas Laksana, baru selesai kisah sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.