23 FEB : Bursa Malaysia mencatatkan positif selepas merosot selama dua hari berikutan aktiviti pengambilan untung.
Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.49 mata kepada 1,545.98 daripada 1,545.49 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.86 mata kepada 1,546.35.
Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 227 berbanding 204 manakala 296 kaunter tidak berubah, 1,587 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong, Pak Leng berkata pasaran tempatan turut mendapat rangsangan daripada ekuiti Wall Street yang tinggi dalam persekitaran belian yang kukuh dalam saham teknologi selepas Nvidia melaporkan keputusan suku tahunan yang lebih kukuh daripada jangkaan, meningkatkan pasaran dan sektor teknologi.
Dow naik 1.2 peratus manakala Nasdaq melonjak hampir 3.0 peratus. Di Asia, indeks utama ditutup tinggi berikutan belian lewat.
“Kami melihat aktiviti pengambilan untung baru-baru ini dalam pasaran tempatan sebagai pembetulan yang baik, membolehkan pasaran menerima aliran meningkat baru-baru ini dan menawarkan peluang untuk menambah saham pada paras yang rendah.
“Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan diniagakan dalam julat 1,540-1,550 hari ini,” katanya, lapor Bernama.
Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi YTL dan YTL Power, masing-masing naik sembilan sen kepada RM2.24 dan RM3.87, selepas keuntungan bersih meningkat seperti yang dilaporkan semalam.
Petronas Gas meningkat 20 sen kepada RM18.18 dan CIMB naik satu sen kepada RM6.40.
Axiata, bagaimanapun, merosot lima sen kepada RM2.71 dan Petronas Chemicals berkurangan empat sen kepada RM7.06.
Bagi saham aktif, Hong Seng dan Minetech, masing-masing naik setengah sen kepada 2.0 sen dan 18 sen.
Powerwell dan Notion, masing-masing meningkat empat sen kepada 31 sen dan 49.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 2.33 mata kepada 11,509.65, Indeks FBMT 100 berkurangan 3.27 mata kepada 11,158.95, Indeks FBM Emas Shariah susut 16.23 mata kepada 11,586.38, Indeks FBM 70 turun 17.93 mata kepada 15,627.06 dan Indeks FBM ACE merosot 0.68 mata kepada 4,905.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 15.28 mata kepada 17,308.17, Indeks Tenaga merosot 2.34 mata kepada 931.89, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.13 mata kepada 178.40 manakala Indeks Perladangan naik 0.16 mata kepada 7,333.28.