Malaysia tambah bantuan kewangan kepada UNRWA
23 FEB : Malaysia bersetuju meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan tindakan beberapa negara besar menghentikan sumbangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA, baru-baru ini.
Perkara itu disampaikan kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi semalam dalam perbualan melalui panggilan telefon.
Beliau sempat merakamkan ucapan tahniah kepada Sisi atas kemenangannya dalam pilihan raya Mesir.
“Saya turut sampaikan penghargaan buat Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan penting mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.
“Kami berdua senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu saudara kita di Palestin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, selain bantuan tahunan, Malaysia turut menyumbang tambahan AS$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
Beliau turut memaklumkan ketika ini, beberapa Ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang berada di Rafah bagi menyatakan sokongan buat Mesir serta membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Gaza.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin mengetuai delegasi Malaysia ke Mesir itu yang turut disertai Ahli Parlimen Ledang (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Sik (PAS), Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Kalabakan (UMNO), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan Ahli Dewan Negara dari Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Mohd Ramli.
“Alhamdulillah, Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim