23 FEB : Penguatkuasaan beras perlu dipertingkat bagi memastikan tiada pemborong atau pengilang yang mengaut keuntungan berlebihan.
Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dalam usaha menjamin keberadaan beras dalam pasaran di negara ini.
Tegasnya, langkah itu akan memastikan tiada pemborong atau pengilang bertindak mencampurkan kandungan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) untuk dijual pada harga yang tinggi.
“Hari ini, saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 yang turut dihadiri menteri-menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian berkaitan serta Gabenor Bank Negara selain wakil industri, wakil pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli NACCOL.
“Saya tegaskan kerajaan perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5 peratus setakat Januari 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau masih menerima aduan berkait bekalan beras meski bekalan dan harga BPT dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal.
“Saya tegaskan betapa campur tangan Kerajaan MADANI pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan serta harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil dalam pasaran,” katanya.
Katanya lagi, beberapa wakil industri dan NGO yang mewakili pesawah serta pengilang turut menyuarakan beberapa cadangan dan pandangan berhubung situasi berkait makanan ruji itu.
Menurut Anwar, selepas mendengar dan mengambil kira semua pandangan, mesyuarat itu memutuskan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengetuai serta menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci dengan seberapa segera yang mungkin.
“Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.
“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac depan sebelum diangkat untuk pertimbangan jemaah menteri,” katanya.
Selain itu, Anwar turut mengarahkan program jualan murah termasuk Jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian termasuk beras, pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Pada masa sama, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga bersetuju mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran domestik supaya boleh dijual pada harga lebih rendah.
“Ia sekali gus mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim