26 FEB : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan tegas bertitah baginda tidak akan melayan mana-mana cubaan untuk menggugat kestabilan politik negara.
Titah baginda, semua pihak perlu menghormati pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menjadi pentadbir negara ketika ini.
Dalam titah itu, baginda mengingatkan sesiapa yang ingin bermain politik agar menunggu pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak akan melayan sebagai permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.
“Semua pihak mestilah menerima dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada hendak bermain politik, tunggu masa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.
Ini merupakan titah sulung baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas mengangkat sumpah 30 Januari lalu.
*Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar