KEB 2024 antara agenda penting Kerajaan MADANI
26 FEB : Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) merupakan antara agenda penting Kerajaan MADANI dalam usaha merombak serta melonjak pembangunan sosioekonomi Bumiputera secara menyeluruh.
Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook susulan Mesyuarat Khas Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikannya petang tadi.
Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan sosioekonomi Bumiputera dapat berkembang maju secara progresif dan inovatif.
Menurutnya, mesyuarat itu bagi membincangkan kerangka perjalanan KEB 2024 yang dijadualkan berlangsung 29 Februari hingga 2 Mac 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Kata Menteri Kewangan itu, selari dengan konsep dasar dan penyertaan yang merentasi dimensi kaum, mesyuarat itu turut mendengar pandangan wakil-wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina, India dan juga Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Menjadi harapan kerajaan supaya kongres ini berjaya mengumpul idea-idea bernas dan menjadi titik tolak kepada perencanaan Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim