29 FEB : Mana-mana anggota Kabinet di bawah pentadbiran Kerajaan Madani wajib digugurkan jika terlibat dengan salah laku.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Tegasnya, tindakan itu bagi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah.
Beliau juga mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak terhadap mana-mana menteri yang terlibat dengan salah laku itu.
“Sudah setahun lebih kita memerintah…banyak diserang, tetapi saya tanya di Parlimen dan di luar Parlimen beri satu bukti menteri, perdana menteri sekarang kalau mereka ada rasuah, dan kalau ada, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman…hukum.
“Namun tidak ada dan setahun tiga bulan saya ‘tabik’ dengan rakan-rakan, kita boleh beri imej rakan kepimpinan yang bersih daripada rasuah, dan ingatan itu jelas.
“…kalau ada (rasuah), saya akan kata jangan tanya saya, persila ambil tindakan dan orang bekenaan wajib digugurkan, baru negara selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024 di ibu kota, hari ini.
Beliau menegaskan SPRM tidak perlu merujuk kepadanta jika ada laporan atau dakwaan rasuah atau salah guna kuasa membabitkan anggota Kabinet.
“Kalau ada (kes), saya katakan jangan tanya saya, persilakan ambil tindakan.
“Orang yang berkenaan (terbabit rasuah dan salah guna kuasa) wajib digugurkan, barulah negara ini selamat,” katanya.