KEB 2024 diharap cetus usaha perkasa pembangunan ekonomi Bumiputera
29 FEB : Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 mampu mencetuskan anjakan terhadap usaha memperkasa dan mereformasi agenda pembangunan ekonomi Bumiputera.
Perdana Menteri juga berharap kongres itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, dapat menjadi platform bagi merancang hala tuju dalam pembangunan ekonomi Bumiputera.
“Mengharapkan wacana yang kritis sepanjang kongres berlangsung sehingga Sabtu ini dan mampu mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu untuk mencetus anjakan terhadap usaha memperkasa dan mereformasi agenda pembangunan ekonomi Bumiputera,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini, lapor Bernama.
Petang tadi, Anwar meluangkan masa meninjau perjalanan KEB 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Beliau turut melawat reruai yang disediakan selain beramah mesra dengan usahawan Bumiputera.
Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri turut meluahkan kekaguman dengan usaha dan daya kreatif usahawan terbabit dalam membangunkan produk mereka.
KEB 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), diadakan bagi menetapkan hala tuju, dasar dan pendekatan baharu agenda pemerkasaan Bumiputera.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim