6 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh situasi getir di Gaza sebelum Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne pada Rabu dengan menggesa supaya gencatan senjata yang segera dan kekal dilaksanakan.
Pada sesi pemukiman sidang kemuncak itu, Anwar mengingatkan pemimpin ASEAN dan Australia bahawa semua negara anggota ASEAN dan Australia mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 2023, yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan.
“Kita harus mendesak agar permintaan ini direalisasikan – dengan segera dan kekal,” katanya, lapor Bernama.
Anwar berkata hari demi hari situasi di Gaza terus bertambah buruk dan sehingga kini sudah mengorbankan lebih 30,000 orang awam Palestian termasuk lebih 12,000 kanak-kanak manakala bayi yang tidak berdosa mati akibat kebuluran dan isu ini pastinya sangat serius.
“Oleh itu, gencatan senjata segera dan kekal adalah sangat mendesak,” katanya.
Anwar berkata, penyaluran bantuan kemanusiaan yang selamat, cepat dan tanpa halangan kepada orang awam yang tidak berdosa di seluruh Gaza perlu dibenarkan untuk diteruskan dan dikekalkan.
“Malaysia menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan lebih berani untuk memaksa Israel agar mematuhi langkah sementara yang dikeluarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Januari tahun ini dan menyeru semua pihak untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” katanya.
Malaysia juga menyeru negara-negara tidak mensensasikan hasil siasatan terhadap dakwaan baru-baru ini yang melibatkan beberapa petugas Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan mempertimbangkan semula hukuman kolektif yang diputuskan dan merayu sokongan kewangan mereka kepada UNRWA dikembalikan semula, katanya.
Anwar berkata secara kolektif, ASEAN dan Australia boleh memainkan peranan konstruktif dalam masyarakat antarabangsa ke arah mencari penyelesaian secara aman dan berpanjangan dalam konflik itu.
“Sebagai negara yang bertanggungjawab, kita terikat dengan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa untuk menegakkan prinsip asas keadilan.
“Hak penentuan kehidupan sendiri yang kita tuntut untuk diri kita sendiri juga perlu dilindungi dan ditegakkan untuk rakyat Palestin,” katanya.
Anwar berkata, berakhirnya pendudukan Israel yang berdekad lamanya di wilayah Palestin adalah asas kepada penyelesaian dua negara serta mewujudkan keamanan dan keselamatan yang berkekalan di Timur Tengah.
“Kita juga tidak boleh menafikan bahawa pencerobohan Israel telah memburukkan lagi perpecahan dan prasangka antara orang Islam dan bukan Islam di seluruh dunia, yang mendorong penyebaran Islamofobia yang berbahaya, yang mesti dihentikan.
“Kita harus sosialisasikan hakikat bahawa apa yang berlaku di Gaza bukan mengenai agama tetapi krisis kemanusiaan. Kita harus menyokong untuk menerima perbezaan supaya masyarakat boleh hidup bersama dalam harmoni,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim