13 MAC : Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melihat beban kewangan negara boleh dikurangkan dengan mengehadkan pencen kepada wakil rakyat dan anggota Kabinet.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata ahli politik patut menerima satu pencen sahaja daripada jawatan-jawatan yang pernah disandang.
Katanya, kini ada pemimpin yang menerima pencen bagi setiap jawatan yang pernah disandangnya.
“Mereka harus menerima satu sahaja pencen iaitu kadar mana yang paling tinggi antara semua pencen yang diterimanya, misalnya menteri, timbalan menteri atau exco negeri, tidak perlu diberi pencen ahli Parlimen atau ADUN lagi.
“Ini kerana ada antara mereka berkhidmat (sebagai wakil rakyat) dalam tempoh singkat hanya lima tahun sahaja, tetapi menerima pencen dalam jumlah tertentu untuk semua jawatan yang disandangnya, jadi untuk memastikan sesuatu yang lebih baik atau lebih munasabah perlu diwujudkan skim baharu iaitu beri satu pencen sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan CUEPACS Bersama Staf Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Arena Gemilang, DeTAR Putra, UNIMAS, hari ini.
Menurutnya, apabila kerajaan melaksanakan perubahan pada skim pencen, ia sepatutnya lebih baik daripada skim sebelumnya.
“Sekarang ini banyak diperkatakan tentang pencen perkhidmatan awam akan dimansuhkan tetapi bagi CUEPACS perkataan yang tepat adalah penambahbaikan skim pencen yang bersesuaian dengan keperluan anggota perkhidmatan awam generasi akan datang.
“Bagi generasi kami, apabila masuk kerja dalam perkhidmatan awam, jawatan kami adalah tetap dan berpencen, bermakna kami dari hari pertama kami sudah disusun dalam bentuk caruman kerajaan dalam Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berterusan hingga kami tamat perkhidmatan.
“Apabila penambahbaikan dilakukan, pastikan anggota perkhidmatan awam masa depan mendapat skim yang lebih baik berbanding skim tetap dan berpencen yang ada sekarang,” katanya.