14 MAC : Dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran pada masa kini hanyalah kes terpencil yang hanya membabitkan beberapa kawasan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan memantau isu kekurangan bekalan beras itu.
“Memang diakui ada kes terpencil tetapi saya sebagai jawatankuasa NACCOL ini akan bantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pantau keadaan semasa.
“Tentunya mekanisme telah diambil untuk menentukan bekalan beras tempatan mencukupi.
“Ia juga bagi memastikan tidak berlaku kejadian kes kekurangan bekalan beras tempatan di kawasan terpencil dan isu ini dapat diatasi dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Layang-layang, Simpang Renggam, hari ini.
Rabu lalu, seorang ahli Parlimen membangkitkan sama ada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Negara bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan maklumat yang tepat mengenai bekalan beras putih di negara ini.
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menimbulkan persoalan sedemikian berikutan situasi di lapangan yang dilakukan oleh pasukannya tiga hari lalu.
Syed Abu Hussin dilaporkan berkata, semakan pasukan pemantau di 30 lokasi di Semenanjung mendapati tiada bekalan beras putih tempatan di pasaran.