Kenyataan Media
Timbalan Perdana Menteri
15 MAC : Saya telah dipertanggungjawabkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) yang bertujuan untuk memurnikan dan menggerakkan ikhtiar, inisiatif mahu pun program KEB 2024 yang telah diluluskan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).
Susulan itu, hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bersama pengerusi-pengerusi Kumpulan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang mana resolusi ini diangkat menjadi agenda baharu pemerkasaan Bumiputera hasil daripada penganjuran KEB 2024 pada 29 Februari sehingga 2 Mac 2024 lalu.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mac 2024 telah bersetuju antara lain supaya satu sekretariat tetap telah ditubuhkan di bawah MEB yang akan dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri bagi memastikan setiap resolusi tersebut diperhalusi dan dipastikan keberkesanan pelaksanaannya.
Manakala, YB Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi pula telah dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kerja MEB bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dijalankan secara efektif dan berkesan.
Mesyuarat telah memuktamadkan 74 resolusi (dari 82 resolusi asal yang berlaku pertindihan) dan 150 program yang digariskan melalui pembentangan 10 Kumpulan KEB. Resolusi dan program ini telah dirangkumkan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera melalui Tiga Matlamat iaitu Keadilan Sosio-ekonomi, Kemampanan Negara Bangsa dan; Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.
Ini termasuk juga cadangan Perbadanan Tanah Bumiputera, Tabung Waqaf MARA Madani, Generasi Usahawan Bumiputera dan Pembangunan Tanah Rizab Melayu seperti yang telah diutarakan di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, tempohari.
Mesyuarat juga telah menetapkan jeda waktu bagi setiap kumpulan mengemukakan laporan kemajuan secara berkala dan menetapkan sasaran untuk satu Sesi Pelaporan Setahun Pelaksanaan KEB dilakukan secara berperingkat dan dibentangkan sepenuhnya pada Mei 2025. Ini bagi meningkatkan keyakinan rakyat akan kesungguhan Kerajaan Madani di dalam melaksanakan apa yang telah diresolusikan.
Bagi mengukur kejayaan sebenar KEB 2024 ia terletak pada usaha menyeluruh semua pemegang taruh ekonomi bumiputera untuk menterjemahkan resolusi tersebut dalam bentuk pelaksanaan yang efektif bagi memenuhi harapan dan aspirasi rakyat. Segala tindakan susulan akan sentiasa diperhalusi, dipantau secara berkala dan pelaksanaannya ditambah baik dari semasa ke semasa untuk mengangkat darjat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih baik.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
-Timbalan Perdana Menteri,
-Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) Majlis Ekonomi Bumiputera.