20 MAC : Media mempunyai peranan penting dalam memberi pandangan, ulasan, pencerahan dan teguran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata media juga perlu bersama memainkan peranan mengangkat martabat umat dan negara serta melonjak pertumbuhan negara.
“Cuma seperti mana saya luahkan baru-baru ini, saya agak terkesan kerana isu besar negara…soal mengejar pertumbuhan lebih rancak, mendepani masalah seperti cabaran digital, peralihan tenaga, kemahiran, kecekalan dan keterampilan anak muda dalam bidang tertentu. Itu semua tidak menarik minat sebahagian tokoh politik.
“Mereka masih lagi terikat, terperangkap dalam tempurung, pemikiran jumud yang lapuk dan lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Madani bersama petugas media di Kompleks Seri Perdana, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Anwar berkata usaha mengangkat martabat umat dan negara memerlukan ilmu, kecekalan, disiplin, kecintaan serta keprihatinan dalam menyantuni masyarakat.
“Saya harap mudah-mudahan dengan semangat Ramadan ini, sebagai madrasah Ramadan, dapat kita diikatkan iman, ilmu dan disiplin,” katanya.
Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa berbuka puasa bersama pengamal media.
Sebelum berbuka, Anwar meluangkan masa beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis itu.
Seramai 200 pengamal media cetak, elektronik dan dalam talian daripada lebih 70 agensi media tempatan termasuk Sabah dan Sarawak, kelab media tempatan dan antarabangsa serta veteran media diraikan pada majlis tersebut.
Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada 20 petugas media dan bekas petugas yang sedang mengalami keuzuran kesihatan serta kurang berkemampuan.
Sumbangan itu adalah daripada Tabung Kasih@HAWANA dan Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS).
Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim