22 MAC : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan 25,000 kampit beras 10 kilogram kepada golongan asnaf di sekitar kawasan Kuala Lumpur sempena Ramadan.
Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini menyempurnakan majlis penyerahan itu kepada imam Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur dan penduduk sekitar.
Menurut kenyataan di akaun rasmi baginda, pengagihan sumbangan beras itu diselaraskan Istana Negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melibatkan 10 masjid di setiap zon di Kuala Lumpur.
Masjid-masjid yang terlibat adalah Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Manjalara; Masjid Amru bin Al-‘As, Bandar Baru Sentul; Masjid Al-Imam Al-Shafie, Maluri; Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Sri Rampai; Masjid Al-Akram, Datuk Keramat; Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan; Masjid Talhah bin Ubaidillah, Bukit Jalil; Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi dan Masjid Jamek Al Khadijiah, Pantai Dalam.
Memetik laporan BH, Azuan berkata meski sumbangan itu kelihatan kecil namun ia amat bermakna kepada mereka yang memerlukan ketika harga beras mahal.
“Nasi adalah makanan penting di Malaysia dan sumbangan baginda ini diharap dapat meringankan beban golongan memerlukan terutama pada Ramadan.
“Baginda juga berharap dapat memberikan lebih banyak sumbangan kepada golongan memerlukan di Kuala Lumpur selepas ini,” katanya selepas majlis penyerahan itu.
Difahamkan sumbangan itu akan diagihkan setiap Isnin hingga Jumaat sepanjang Ramadan bermula jam 8 pagi hingga 2 petang oleh jawatankuasa masjid.
*Foto: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar