25 MAC : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius kes salah laku seksual melibatkan pendidik dan pelajar yang dilaporkan media.
Kata kementerian itu, pihaknya bertegas tidak akan bertolak ansur terhadap apa jua kesalahan seksual di institusi pendidikannya.
“Tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikan KPM,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Jelas KPM, tindakan sudah diambil mengikut garis panduan sedia ada bagi bes tersebut.
“Kementerian juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis sedang menyiasat laporan daripada keluarga seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan guru sekolahnya sendiri.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, laporan diterima pada Disember tahun lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes ini.
Ia susulan pendedahan ahli keluarga pelajar berkenaan yang mendakwa ibu remaja lelaki berkenaan sudah membuat laporan polis serta laporan berasingan kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan lanjut.
Walaupun guru yang disiasat dalam kes ini dilaporkan sudah dipindahkan ke sekolah lain namun mereka mendakwa mereka masih berhubung dan pernah bertemu dengan adiknya secara rahsia.
Perbualan intim guru bersama pelajar tersebut menerusi aplikasi WhatsApp turut dimuat naik dalam media sosial.