2 APR : Thailand hari ini meluluskan bacaan pertama rang undang-undang (RUU) bagi membenarkan perkahwinan sejenis di negara itu.
Kelulusan awal Senat Thailand itu diberikan selepas Parlimen membenarkannya ketika proses pengundian, minggu lalu.
Naib Presiden Senat, Singsuk Singpai dilaporkan berkata RUU itu meraih 147 undi sokongan dan empat menolak manakala tujuh berkecuali, lapor AFP.
Terdahulu, senator di negara itu turut membahaskan tentang pertukaran istilah yang merujuk lelaki, wanita, suami dan isteri di bawah undang-undang perkahwinan kepada perkataan neutral jantina.
Dilaporkan RUU itu bakal diserah kepada jawatankuasa dewan untuk pertimbangan selanjutnya.
Difahamkan Senat tidak boleh menolak perubahan yang dicadangkan namun boleh mengemukakan kepada Parlimen bagi memberi laluan RUU itu dibahaskan lanjut dalam tempoh 180 hari.
Ia kemudiannya akan melalui dua lagi proses pengundian di Senat yang dijadualkan pada Julai depan.