3 APR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua menteri agar turun padang untuk melihat sendiri keadaan semasa termasuk isu berkaitan harga dan kuantiti barang keperluan di pasaran menjelang sambutan Aidilfitri.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perkara itu ditegaskan perdana menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan maklum balas yang diterima beliau dalam beberapa siri program.
“Penekanan ini juga diberi sebelum sambutan Aidilfitri jadi pesanan dan arahan daripada Perdana Menteri akan dilaksanakan oleh semua menteri,” katanya dalam sidang media, hari ini, lapor Bernama.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata pada mesyuarat itu Jemaah Menteri turut menegaskan kepentingan Sidang Kemuncak KL20 yang berlangsung dari 22 hingga 23 April ini untuk mengetengahkan aspek bagi syarikat pemula niaga terutama dalam bidang teknologi.
“Dalam masa terdekat, lebih banyak bahan promosi dan ruang akan diberikan untuk program KL20. Jemaah Menteri difahamkan akan ada beberapa pengumuman penting terutama bagi start-up scene.
“Jadi insya-ALLAH, selepas Aidilfitri akan ada siri pengumuman atau promosi yang akan diterajui Kementerian Ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, jemaah menteri juga mengambil maklum Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan telah menyembah permohonan ampun kepada Seri Paduka Baginda.
“Jemaah mpppenteri juga maklum mengenai hantaran di Facebook Tuanku dan menjunjung kasih perkenan Tuanku menerima menghadap pengasas tersebut.
“Jemaah Menteri juga senada bahawa aspek penguatkuasaan perlu ditegaskan dan disegerakan, mengambil maklum dan menjunjung titah Tuanku mengenai keperluan untuk menangani mereka yang cuba menghasut rakyat,” katanya.
Ditanya kaedah menangani pihak yang menghasut rakyat termasuk penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta 747, Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan.