8 APR : Korea Selatan berjaya melancar satelit pengintip keduanya ke orbit dengan menggunakan roket Falcon 9 SpaceX, pada Ahad.
Laporan Sputnik menyebut, Kementerian Pertahanan Korea Selatan memaklumkan satelit pengintip kedua itu dibangunkan Korea.
Roket itu dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 8.17 pagi waktu tempatan dan menghantar satelit pengintip ke orbit kira-kira 45 minit selepas pelancaran, lapor Agensi Berita Korea Selatan Yonhap.
Satelit itu kemudiannya disambung dengan stesen bumi asing pada jam 10.57 pagi.
Ini adalah pelancaran satelit pengintip tentera kedua Seoul di bawah rancangan Korea Selatan untuk meletakkan lima satelit pengintip ke orbit menjelang tahun 2025 untuk memantau aktiviti Korea Utara.
Pelancaran itu dilaksanakan ketika Pyongyang didakwa sedang giat membangun keupayaan mengintip di angkasa yang berpotensi meningkatkan ‘keupayaan serangan yang tepat’ terhadap sasaran utama di Korea Selatan dan AS.
*Foto : Kementerian Pertahanan Korea Selatan