20 APR : Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar dilaporkan meninggal dunia jam 2.15 pagi tadi.
Perkara ini disahkan anak Allahyarham yang juga pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar.
“Dengan perasaan amat dukacita. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Saya, Abdul Rahmat Omar Mohamed Haniff ingin memaklumkan pemergian pulang ke Rahmatullah ayahanda kami yang dikasihi, Mohammed Hanif Omar sekitar jam 2.15 pagi tadi, Sabtu 20 April 2024,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Allahyarham, 85 merupakan Ketua Polis Negara keempat serta paling lama berkhidmat iaitu selama 20 tahun.
Beliau dilantik sebagai KPN pada usia 35 tahun pada 8 Jun 1974 bagi menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang terbunuh ditembak komunis.
Selepas persaraan pada Januari 1994, beliau dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan operasi-operasi PDRM 2004-2005.
Allahyarham juga adalah Penaung Yayasan Pengaman Malaysia.