26 APR : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan semua institusi pendidikan di negara ini agar memeriksa latar belakang mana-mana pensyarah dari luar negara sebelum menjemput mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata individu yang kontroversi seperti Bruce Gilley hanya akan memberi kesan negatif dan memburukkan imej negara.
“Saya tidak mahu mengatakan perlu rujuk (kepada KPT), ini soal kebebasan di universiti dan kita perlu hormati tetapi paling penting kalau kita nak jemput sesiapa, perlu periksa latar belakang, apa kepakaran, dalam bidang apa, adakah benar-benar sarjana yang dihormati.
“Jika anda lihat latar belakang individu ini, beberapa penulisannya, dalam konteks kolonialisme dan imperialisme, anda boleh lihat, semua orang mempertikaikan dia.
“Jadi kenapa boleh benarkan individu ini untuk datang dan mengajar kita sedangkan kita ada ramai pensyarah yang lebih baik dan bagus di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Putrajaya, hari ini.
Respons itu susulan kenyataan seorang profesor universiti yang berpendapat Universiti Malaya tidak perlu memohon maaf atas keputusan menjemput pensyarah dari Amerika Syarikat (AS) itu.
Gilley dalam ucaptamanya di UM baru-baru ini memperkecilkan hubungan Malaysia dan AS selain mendakwa Malaysia mahukan ‘holocaust’ kedua terhadap orang Yahudi dan turut memuat naik kenyataan sama di media sosialnya.
Sehubungan itu, UM mengeluarkan permohonan maaf atas perkara tersebut.
Susulan itu, KPT mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial, dibatalkan segera.
Dalam pada itu, Zambry menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan universiti bagi memastikan kebebasan akademik dapat diamalkan dengan baik.
“Saya ingin beri peringatan, ini bukan untuk menyekat kebebasan akademik di Malaysia, ini adalah mengenai kenyataan yang dibuat di luar konteks akademik.
“Saya nak perbetulkan hal ini, seolah-olah menteri mengarahkan supaya disekat semua pensyarah dari luar negara…tidak,” katanya.
Menurut Zambry, pihaknya masih menanti laporan dari UM berkait perkara itu kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi.