1 MEI : Perikatan Nasional (PN) dilihat bakal terus menggunakan isu lama untuk menyerang UMNO termasuk memainkan naratif lapuk, UMDAP (UMNO dan DAP) sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara sama turut dilakukan gabungan pembangkang itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri lalu.
“Ini bukan pertama kali mereka (PN) lakukan taktik untuk apa yang dipanggil sebagai UMDAP kerana pada PRN enam negeri lalu pun perkara sama telah dimainkan.
“Jadi PRK di Kuala Kubu Baharu ini, saya pasti banyak isu lama yang diputar semula kerana mereka telah ketandusan modal dan mereka gunakan modal lama untuk menghentam UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang sebuah gambar di media sosial yang memaparkan penyokong PN mengangkat sebuah replika yang mencantum logo UMNO-DAP ketika penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 UMNO Negeri Sembilan di Dataran Pejabat Parlimen Jelebu pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) melahirkan keyakinan pengundi UMNO akan terus bertambah meski pelbagai isu negatif terus dimainkan
“Tiada perubahan dalam kalangan pengundi UMNO, malah kita yakin pengundi UMNO akan bertambah kerana beberapa siri penjelasan melalui jelajah yang telah dilakukan.
“Maka, perkara-perkara yang menjadi agak kabur isunya pada satu ketika dulu, telah mula ada pencerahan. Insya-Allah kita yakin kepimpinan parti dari Selangor dan rakan-rakan dari negeri lain juga akan membantu untuk beri pencerahan yang lebih luas berkenaan isu dimainkan oleh pihak pembangkang, “katanya.
Ketika diminta mengulas soal pendirian MCA yang enggan membantu jentera kerajaan dalam berkempen, beliau berkata perkara itu hanya sementara.
“Kita memahami perasaan mereka disebabkan oleh beberapa kenyataan yang dibuat. Saya fikir ini hanyalah sementara saja.
“Insya-ALLAH saya akan bersama-sama kepimpinan MCA akan santusi perasaan dan sentimen mereka,” katanya.