3 MEI : Malaysia mungkin berdepan keperluan mengimport lebih banyak gas bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik pada tahun-tahun akan datang sekiranya terus bergantung kepada komoditi itu tanpa usaha mempercepat peralihan kepada tenaga lebih lestari.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata pada tahun lepas Malaysia mengimport kira-kira 25 peratus gas bagi memenuhi keperluan negara ekoran kekurangan pengeluaran sumber asli seperti minyak dan gas.
“Saya kira tidak ramai yang tahu bahawa kita telah mula mengimport gas. Bagi tahun ini, saya ingat, dijangkakan sehingga kira-kira 30 peratus daripada gas adalah import dan keadaan ini akan berterusan.
“Oleh itu, kita perlu memaklumkan perkara sebenar kepada rakyat (walaupun) hakikat ini menyakitkan,” katanya ketika menjadi panel dalam program ‘Minister’s Conversation’ (Bicara Menteri) 2024 Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), hari ini, lapor Bernama.
Menjelaskan selanjutnya, Rafizi berkata pengeluaran minyak mentah negara pada masa ini amat rendah iaitu sekitar 400,000 tong sehari berbanding 700,000 tong sehari pada 20 tahun lepas.
Malah, jika tiada sebarang tindakan dibuat menjelang 2050, beliau berkata Malaysia akan bergantung sepenuhnya kepada tenaga gas import yang akan hanya meningkatkan kos sara hidup.
Menyentuh dividen daripada Petronas, beliau berkata langkah pengambilan setiap RM1 dividen berkenaan turut memberi kesan kepada syarikat minyak dan gas negara itu, termasuk mengurangkan kemampuan kewangannya bagi mencari telaga minyak baharu.
Selain itu, Rafizi turut berkongsi beberapa cabaran untuk menstruktur semula ekonomi negara yang tidak dapat dilaksanakan dengan hanya membuat kerangka ekonomi.
“Sebaliknya, ada perkara yang perlu dilepaskan…tidak mungkin keadaan seperti biasa. (Pertamanya) keputusan perlu dibuat bagi memastikan keadaan tidak semakin buruk.
“Kedua, sebarang perubahan daripada status quo, memerlukan perubahan minda dan budaya yang tidak mudah bagi sesebuah negara yang mempunya pandangan serta amalan sedemikian sejak berdekad lamanya,” katanya.
Ketiga, katanya, sesuatu dasar yang digubal perlu dibuat dengan mengambil pendekatan menyeluruh dan menyaksikan pelbagai cabaran termasuk soal kemampuan kewangan dan keboleklaksanaan terutamanya dari segi meningkatkan skalanya.
“Perkara keempat dan menjadi cabaran besar adalah untuk menyelaras serta memastikan tahap perubahan yang sama untuk semua dan setiap peringkat (pelaksanaan) bagi pihak berkepentingan,” katanya.
Rafizi berkata apa yang penting adalah penjawat awam perlu sedia maklum bahawa kerajaan perlu menekankan untuk membangunkan program-program ekonomi sesuai dengan penerimaan dan kumpulan sasaran.
“(Kita juga perlu memastikan) wang yang kerajaan laburkan nanti memberi kesan dan membuahkan hasil…bukan setakat beri peruntukan, tetapi akhirnya berjaya seperti dirancang,” katanya.