18 OGOS: Sebanyak tujuh kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan tiga daripadanya kes tempatan yang kesemuanya masih melibatkan kluster Sala dan Tawar di Kedah.
Bilangan kes positif Kluster Tawar di Baling Kedah yang kini berjumlah 47 kes juga mengatasi bilangan kes kluster PUI Sivagangga yang masih kekal pada 45 kes setelah tidak mencatatkan jangkitan baru untuk beberapa hari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Sala melaporkan dua kes lagi hari ini menjadi lapan kesemuanya manakala kluster Tawar mencatatkan satu kes.
Katanya, punca jangkitan dari dua kluster ini masih dalam siasatan namun secara umumnya penularan dari kluster Tawar disumbang oleh perhimpunan dalam kalangan ahli keluarga yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya tiada penjarakan fizikal.
“Bagi kluster Sala pula, kes indeks mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarga beliau. Walaupun tiada kes positif COVID-19 dikesan di hospital tersebut namun kesemua ahli keluarga yang bersama kes indeks untuk menziarahi pesakit dikesan positif.
“Jangkitan seterusnya merebak kepada kontak rapat dan ahli keluarga beliau. Dikhuatiri amalan melawat pesakit mungkin menyumbang penularan jangkitan memandangkan di hospital terdapat banyak penyakit dan mengundang risiko jangkitan.
“Kemungkinan besar penularan dalam dua kluster ini dapat dibendung jika amalan 3S dapat diamalkan semua pihak iaitu elak tempat sesak, sempit dan sembang dekat,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Kata Noor Hisham, pengesanan kontak rapat untuk kedua-dua kluster ini masih diteruskan dan 1,490 telah disaring dalam kluster Tawar dengan 360 masih menunggu siasatan.
“Bagi kluster Sala pula, seramai 629 disaring di Kedah dan Pulau Pinang dengan 144 masih menunggu keputusan,” jelasnya.
Jelas beliau, tiada daerah di Kedah dikategorikan sebagai Zon Merah kerana kes-kes dari kesemua kluster di negeri itu dilaporkan di pelbagai daerah dan negeri.
“Apabila ada 40 kes barulah sesuatu daerah dikategorikan Zon Merah, tetapi di Kedah tidak ada seperti itu, yang ada Zon Kuning.
“Maka, pendekatan kita adalah berdasarkan kumpulan ahli keluarga, bukan lokaliti. Kita akan jejak dan kesan mereka yang terdedah dengan kes positif. Ini lebih efektif. Alhamdulillah kita dapat kesan dan ambil tindakan pencegahan sama ada di Kedah atau Pulau Pinang,” ujarnya.
Sementara itu kata Noor Hisham, tiga daripada empat jangkitan luar negara melibatkan kepulangan dari Bangladesh manakala satu lagi dari United Kingdom.
“Setakat tengah hari terdapat lapan kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Hari ini juga tidak mencatatkan kes kematian baharu manakala kes sembuh hari ini berjumlah 26 kes. Ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 berjumlah 192 kes,” katanya. – Oleh M. HERMAN HAMID