4 MEI : Sebuah pesawat ringan yang sedang menjalani latihan dilaporkan terhempas di Felda Gunung Besout, Tanjung Malim, Perak, pagi tadi.
Kedua-dua mangsa disahkan selamat denga. juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26 mengalami patah kaki kanan manakala pelatih Le Ho Jia, 20 alami bengkak muka.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat Cessna 172N Skyhawk dikendalikan Akademi Penerbangan Layang-Layang itu dinaiki dua individu berlepas jam 7.54 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Katanya, Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) menerima panggilan terakhir di Slim River jam 9.35 pagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pesawat ringan itu terhempas di sebuah ladang dekat Felda Gunung Besout 2, Sungkai.
Menurutnya, pesawat itu terputus hubungan semasa berpatah balik.
“Polis menerima makluman berkenaan nahas ini pada jam 9.55 pagi. Kejadian berlaku semasa pesawat terbabit menjalani latihan penerbangan.
“Pasukan keselamatan yang sampai ke tempat kejadian telah melakukan kerja-kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa untuk dibawa ke hospital bagi tujuan rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita.
Katanya, kawalan ketat dibuat di lokasi nahas agar tidak diganggu dengan kehadiran orang awam selain memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
“Siasatan masih di peringkat awal, kita akan lihat dari pelbagai sudut.
“Buat masa ini, polis akan mengawal dan membuat pemantauan ke atas lokasi kejadian dan selanjutnya akan diambil alih oleh CAAM,” katanya.