6 MEI : Kabinet Israel memutuskan menutup operasi Al Jazeera di Israel selagi perang di Gaza masih berlaku dengan alasan kononnya rangkaian televisyen dari Qatar itu mengancam keselamatan.
Rejim zionis turut mendakwa Al Jazeera meletakkan wartawannya dalam risiko besar sambil mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang.
Al Jazeera yang menyifatkan tuduhan Israel sebagai pembohongan dan tidak masuk akal.
Rangkaian TV dibiayai kerajaan Qatar itu sering mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza, sepanjang perang Israel-Palestin berlangsung.
“Saluran hasutan Al Jazeera akan ditutup di Israel,” kata Netanyahu.
Menurut arahan penutupan itu, pihak berkuasa Israel dilaporkan boleh merampas peralatan penyiaran, memotong saluran daripada syarikat kabel, satelit dan menyekat laman sesawangnya.
Namun, arahan penutupan itu tidak menyebut penutupan merangkumi operasi Al Jazeera di Gaza.
Bulan lalu, Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang membenarkan penutupan sementara syarikat penyiar asing di Israel yang kononnya boleh mengancam keselamatan rejim itu.
Dengan adanya undang-undang itu, Netanyahu dan Kabinet perangnya boleh menutup pejabat rangkaian media di Israel selama 45 hari yang boleh diperbaharui supaya firma tersebut boleh terus ditutup berkuat kuasa sehingga akhir Julai atau sehingga tamat operasi ketenteraan utama di Gaza.