7 MEI : Hamas dilaporkan bersetuju cadangan Qatar-Mesir untuk melaksanakan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Ketuanya, Ismail Haniyeh menyampaikan persetujuan itu melalui panggilan telefon dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan Ketua Perisikan Mesir, Abbas Kamel.
Sementara kumpulan itu melalui satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan penduduk Palestin di kawasan kejiranan timur bandar Rafah di selatan Gaza.
Dalam pada itu,menurut laporan KAN, seorang pegawai Israel yang terbabit dalam rundingan tersebut berkata Tel Aviv akan mengkaji keputusan Hamas itu.
Pihak berkuasa Palestin memaklumkan lebih 34,700 rakyat Palestin terbunuh sejak perang yang memasuki hampir tujuh bulan di Gaza dengan sebahagian besar daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak.