16 MEI : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini menzahirkan ucapan selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik atas ilmu dan jasa yang dicurahkan.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka bertitah pengorbanan dan jasa warga pendidik harus sentiasa dikenang kerana peranan mereka begitu penting dalam membangunkan bangsa dan masyarakat.
“Terima kasih kepada guru-guru yang pernah mendidik kami, ilmu dan bakti kalian akan sentiasa dikenang,” titah baginda berdua, lapor Bernama.
Bagi sambutan Hari Guru tahun ini, Kementerian Pendidikan mengangkat tema ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI’ dengan sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASIC) di Kuantan, Pahang, hari ini.