18 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pertukaran enam memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan Uzbekistan di Samarkand, hari ini bagi kerjasama dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.
MoU itu antara lain membabitkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersama Dewan Perdagangan dan Industri Uzbekistan (CCIU) sebagai usaha mengukuh serta membangunkan kerjasama promosi perdagangan antara Malaysia dengan Uzbekistan dan pertukaran maklumat perdagangan.
Ia juga untuk organisasi dan pelaksanaan aktiviti promosi perdagangan, menggalakkan pertukaran lawatan serta perkongsian pengalaman dalam pembangunan kapasiti berkaitan aktiviti promosi perdagangan, lapor Bernama.
Selain itu, MoU Sunview Sdn Bhd bersama Yashil Energiya LLC untuk pemasangan panel solar dengan jumlah kapasiti hingga 50 mW di bangunan organisasi sosial dan pejabat kerajaan di Uzbekistan.
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Tashkent State University of Economics (TSUE) pula akan bekerjasama dalam sektor pendidikan, terutama membangunkan program kolaboratif dan menyediakan peluang serta sokongan kepada pelajar dalam pembangunan profesional dan kerjaya mereka.
Kedua-dua universiti itu juga akan menggalakkan pertukaran institusi dengan menjemput fakulti, petugas dan pelajar dari institusi rakan kongsi, selain bekerjasama dalam program pendidikan yang dipersetujui dan dalam geran penyelidikan PhD, penyelidikan bertauliah, geran padanan, penyelidikan dan pembangunan perpustakaan.
Selain itu, kedua-dua universiti turut bersetuju untuk berkongsi pengetahuan berhubung perkembangan dalam pengajaran, penyelidikan, latihan dan amalan.
Seterusnya, menganjurkan projek penyelidikan dan perundingan bersama dalam bidang kepentingan bersama, dan mengelolakan simposium, acara, sesi, persidangan, bengkel, kursus pendek, wacana serta mesyuarat mengenai perakaunan dan kewangan, ekonomi serta perniagaan.
Universiti Utara Malaysia (UUM) pula akan turut bekerjasama dengan TSUE dalam pertukaran fakulti, aktiviti penyelidikan bersama dan penerbitan, program akademik (ijazah berganda, sarjana dan PhD).
Kedua-dua pihak akan berkolaborasi dalam penyertaan seminar dan mesyuarat akademik, pertukaran bahan akademik dan maklumat lain, program akademik jangka pendek khas, pertukaran pelajar untuk penyelidikan dan mengkaji mana-mana bidang kerjasama yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa.
UUM juga akan bekerjasama dengan Banking and Finance Academy (BFA) dengan UUM menawarkan program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM) dan sebaik selesai, BFA akan memindahkan kredit ke program MBA institusi itu.
Turut menyaksikan pertukaran MoU yang diadakan di Kompleks Laluan Sutera Samarkand itu ialah Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev.
Anwar berada di Uzbekistan untuk lawatan rasmi selama tiga hari. Beliau tiba di Tashkent pada Jumaat.
Antara anggota delegasi Malaysia dalam lawatan di Uzbekistan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.