20 MEI : Kerajaan Iran telah mengesahkan bahawa Presidennya, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amirabdollahian bersama semua penumpang lain di dalam helikopter terkorban dalam nahas pada Ahad (19 Mei) kira-kira jam 4.30 petang waktu tempatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar (Wisma Putra) menyatakan bahawa helikopter berkenaan melakukan pendaratan kecemasan di Hutan Dizmar Tengah antara Kampung Brazin dan Ardeshiri di Wilayah Azerbaijan Timur semasa dalam penerbangan pulang ke Tehran.
Menurut kenyataan itu, terdahulu Presiden Iran ke Wilayah Azerbaijan Timur untuk merasmikan empangan bersama Qizqalaasi di sempadan Sungai Aras bersama Presiden Azerbaijan, lapor Bernama.
Wisma Putra berkata kerajaan dan rakyat Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, rakyat Iran, dan semua yang terjejas dalam insiden tragis ini.
Ia juga berkata bahawa dalam saat kesedihan ini, Malaysia bersolidariti bersama Iran dengan ingatan serta doa kepada negara itu dalam masa yang sukar ini.