23 MEI : Malaysia merupakan destinasi selamat untuk pelaburan di sebalik ketegangan yang sedang melanda seluruh dunia.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo, hari ini.
Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelabur terutamanya dalam sektor pembuatan kini sedang mencari destinasi selamat untuk pelaburan di tengah-tengah ketegangan yang memuncak seluruh dunia.
Malah katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan sekatan perdagangan terutamanya mengenai mikrocip.
“Saya berani katakan bahawa Malaysia sesuai dengan keperluan (destinasi selamat untuk tujuan pelaburan)…terima kasih kepada kestabilan kita, tenaga buruh yang mahir, serta dan ketidakselarasan ekonomi dan geopolitik kita.
“Buktinya adalah pada angka. Pada 2023, Pulau Pinang selaku hab semikonduktor Malaysia menarik AS$13 bilion dalam pelaburan langsung asing, melebihi jumlah gabungan untuk tujuh tahun sebelumnya,” katanya.
Forum yang berlangsung kali ini mengangkat tema ‘Kepemimpinan Asia dalam Dunia Yang Tidak Pasti’.
Dalam pada itu, Anwar dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya dari Jepun Fumio Kishida untuk mesyuarat dua hala.
Beliau juga dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan dengan kapten industri tempatan, pelajar dan ahli akademik.
Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut.
Tahun lepas jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (AS$34.39 bilion).
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim