29 MEI : Pahang berjaya menoktahkan kemiskinan tegar selari dengan aspirasi kerajaan sebelum ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Ismail.
Beliau berkata, sebanyak 1,946 ketua isu rumah yang sebelum ini direkodkan sebagai miskin tegar berjaya melonjakkan pendapatan mereka, sekali gus terkeluar daripada kategori berkenaan.
Bagaimanapun, menurutnya, kemiskinan tegar sangat subjektif dan boleh berubah pada masa akan datang.
Justeru, kerajaan negeri akan terus fokus melakukan pemantauan, katanya.
“Bila ada data menunjukkan bilangan miskin tegar sebelum ini, kita minta pejabat pembangunan negeri pantau untuk lihat apa yang kita boleh tolong (golongan miskin tegar),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kadar kemiskinan tegar di Pahang, lapor Bernama.
Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada 99 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Orang Asli dan sekolah menengah agama Pahang, hari ini.
Wan Rosdy sebelum ini dilaporkan berkata, jumlah miskin tegar pada 3 Jan 2023 adalah seramai 4,968 orang.
Bagaimanapun, jumlah itu menurun kepada 1,946 orang pada 31 Disember tahun sama.
Beliau berkata, pencapaian itu hasil usaha pelbagai pihak termasuk inisiatif kerajaan pusat dan negeri menerusi bantuan yang disalurkan.
“Misalnya di Pahang, kerajaan negeri menyalurkan antaranya Bantuan Prihatin Pahang, skim I-PUSH (pembiayaan kewangan usahawan mikro), bantuan rumah rakyat Pahang serta kad kesihatan yang turut menyumbang dalam membantu mengeluarkan mereka daripada putaran ganas kemiskinan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan perpaduan berhasrat menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.