5 JUN : Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Program Latihan Ijazah Kepakaran, atau Parallel Pathway, akan dibawa ke sidang Parlimen akan datang, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, ia susulan pembentangan memorandum bersama antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada mesyuarat jemaah menteri hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Maka isu Parallel Pathway, kita lihat akan dapat diatasi, dengan nanti akan ada pembentangan satu RUU yang akan dibawa ke Parlimen.
“Untuk perincian mengenai aspek penyelesaian bagi isu ini, saya akan minta rakan media untuk rujuk dengan sama ada Menteri Kesihatan atau Menteri Pendidikan Tinggi tetapi kita telah capai satu keputusan dan insya-ALLAH, akan dibawa ke Parlimen kelak. Kita harap semua berjalan lancar,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat jemaah menteri, hari ini, lapor Bernama.
Pada 29 Mei lepas, Fahmi berkata beberapa pindaan mungkin dilakukan terhadap undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan isu Parallel Pathway dan ia akan dibincang pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Isu Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf.
Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program Parallel Pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang kardiotoraks.
Mengulas mengenai pembentangan memorandum itu, Fahmi berkata, ia bertujuan merungkai isu pertindihan yang melibatkan dua agensi iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan MMC.
“Isunya adalah antara kedua-dua agensi ini, jika kita bawa pindaan ke Parlimen, ia akan membantu menyelesaikan perkara itu.
“Kita perlu menanti sehingga ia benar-benar dibentangkan. Saya tidak boleh mendedahkan apa-apa sebelum anda mendapat maklumat yang berkaitan daripada Menteri Kesihatan dan Menteri Pendidikan Tinggi,” katanya.